Misteri Disebalik Gadis Sesat Selama 19 Hari Di Gunung Tahan, Nur Umaisarah Yang Menggemparkan Negara Pada Tahun 2008

Sebelum ini pada tahun 2008 , Malaysia digemparkan dengan kisah kehilangan Nur Umaisarah di Gunung Tahan. Seorang pelajar Universiti Teknologi Mara (UiTM) Arau, Perlis hilang sejak Khamis lalu, ketika menuruni Gunung Tahan, Pahang. Selepas terpisah daripada 35 rakannya yang turut sama mendaki gunung itu menerusi program unit beruniform universiti berkenaan. Kehilangan Nur Umaisarah Sameon, 21, pelajar tahun akhir Diploma Perakaunan itu hanya disedari rakan sepasukannya ketika mereka tiba di Kem Kor dari puncak gunung, kira-kira jam 11 pagi.

Bapa yakin Umai hidup
“Umai, Umai… bapak ada di atas ni, kami sekeluarga tunggu, ramai kawan pun tunggu.” Demikian jeritan yang dilaungkan berulang kali oleh Sameaun Hassan, 45, menggunakan pembesar suara dalam usaha mencari anaknya, Nur Umaisarah yang sesat di Taman Negara Sungai Relau ketika beliau ikut serta dalam operasi mencari dengan menaiki helikopter unit udara polis.

Dalam tinjauan itu, Sameaun telah mengelilingi kawasan terlibat selama kira-kira 30 minit sebelum menghentikan usaha mencari pada pukul 5.30 petang. Sameaun ketika ditemui di Pusat Penerangan Sungai Relau, mengakui beliau hanya berserah kepada takdir akan nasib anak sulungnya itu.

Sameaun memberitahu, meskipun Nur Umaisarah belum ditemui, beliau amat yakin anaknya masih hidup dengan penemuan beberapa barangan di lokasi dia hilang selain mendapat beberapa petunjuk penting.

“Pada Ahad lalu, dua pasukan mencari terdengar suara orang memanggil dan bunyi banir diketuk setelah mereka melaungkan azan di lokasi Umai hilang. “Tetapi apabila diserbu ke arah ketukan itu, tiada kelibat di lihat sebaliknya hanya tempat yang dipercayai Umai tidur sahaja ditemui.

“Keesokan harinya, beberapa paket Nestum pula dijumpai di sekitar kawasan itu sebelum sehelai trek biru yang telah terkoyak bersama dua biji batu di dalam poket turut ditemui pada hari semalam,” katanya.

Sameaun menyatakan, beliau turut diberitahu oleh pasukan mencari bahawa anaknya dipercayai berulang-alik di lokasi beliau hilang iaitu di antara kawasan Permatang dan berhampiran air terjun di taman negara itu berdasarkan kesan tapak kasut yang dijumpai.

19 HARI TERSESAT DI GUNUNG TAHAN
Keajaiban mungkin telah menyelamatkan Nur Umaisarah Same’aun, 21, atau Umai yang sesat di Taman Negara Pahang dekat Gunung Tahan selama 19 hari pada 7 Februari 2008.

Ketika itu, penuntut tahun akhir Diploma Perakaunan di Universiti Teknologi Mara (UiTM) Arau, Perlis ini menyertai 35 lagi rakan lain dalam Ekspedisi Komander Kesatria sebelum tersesat selepas melihat pokok bonsai.

Akibatnya, beliau berjalan sejauh 30 kilometer dan hilang berat badan sebanyak 15 kilogram. Selami perasaan gadis cekal yang digelar Mai Komando ini.

KEADAAN FIZIKAL SELAPAS DI TEMUI
Alhamdulillah, saya sihat. Cuma selepas 19 hari perut saya kosong dan tidak menjamah makanan, saya masih perlu menyesuaikan diri dengan tidak boleh makan terlalu banyak.

Yang lain, mungkin kulit saya sahaja yang masih belum baik dan ada luka-luka serta keadaan kaki yang masih bengkak. Saya cuma sapu krim dan minyak saja. Kalau hendak dikira parut, memang banyak tapi tidak apalah asalkan saya sihat dan selamat.

PERASAAN KETIKA MENYEDARI TERSESAT
Saya trauma apabila mengenang detik-detik bermalam seorang diri di dalam hutan.Ada ketikanya saya menangis dan hilang semangat. Saya ingat lagi, bila sudah masuk hari keempat, semangat saya mula luntur dan bila waktu malam, saya solat istikharah minta petunjuk dari Allah sama ada hendak teruskan perjalanan atau tunggu saja di situ.

Pada malam itu saya bermimpi guru pengiring suruh saya tunggu kerana bantuan akan tiba. Tapi bila saya fikir mungkin orang tidak nampak saya jika terus berada di kawasan itu, saya mula berjalan lagi.

Saya redah saja apa yang ada sehingga ada ketikanya, kaki saya dipenuhi pacat tapi saya biarkan saja dan bila kenyang, pacat itu pasti jatuh. Kulit tangan jangan cakaplah, bercalar-balar dan drah mengalir pun saya tidak terasa sebab mahu cepat keluar dari hutan.

Saya sebenarnya penakut tapi saya sendiri tidak tahu dari mana datangnya kekuatan ketika itu. Mungkin ia berkat doa orang ramai.

Saya juga menunaikan sembahyang fardu dan solat sunat walaupun pakaian saya koyak. Saya agak sahaja bila waktu sembahyang dan arah kiblat kerana saya yakin Allah ada di mana-mana.

Saya tidak pernah jumpa apa-apa yang pelik atau menakutkan. Saya tersesat disebabkan kecuaian sendiri. Penglihatan saya bukanlah ‘ditipu’ oleh makhluk halus. Hanya burung, cengkerik dan serangga kecil yang saya nampak. Bunyi merekalah yang menjadi penghibur.

Saya tidak mahu menakutkan diri sendiri dan selalu bercakap pada diri yang malaikat itu lebih banyak daripada syaitan. Saya juga rasa bertuah sebab tidak suka menonton cerita atau filem seram.

Kalau tidak, mesti saya terbayang-bayang sebab masa di hutan itu, pernah juga terlintas filem Jangan Pandang Belakang tapi nasib baik saya tidak pernah menontonnya.

Waktu beg saya terjatuh, saya turut sekali terjatuh. Lutut saya sakit sebab terhentak kawasan keras. Sakit sangat. Saya menjerit sekuat hati. Hanya Allah sajalah yang tahu perasaan masa tu.

Selain itu, percubaannya untuk ditemukan juga menemui jalan buntu apabil apa yang dirancang tidak berjaya. Usahanya membuat unggun api menggunaakan cermin matanya tidak membuahkan hasil diharapkan.

Saya terfikir untuk buat unggun api pakai cermin mata. Saya kumpulkan ranting kayu dan daun kering dan gunakan cermin mata untuk guna cahaya matahari. Tapi percubaan saya tidak berjaya.

Tapi saya ingat satu pengalaman di mana saya fikir ajal saya sudah tiba. Masa itu, hari ke-11. Sedang saya berjalan-jalan, saya tidak perasan berada di tebing air terjun dan ketika itu saya tergelincir dan terus jatuh ke dalam sungai.

Saya hanya mengucap panjang sebab dalam fikiran saya, mungkin saya akan mti di situ sebab saya tidak pandai berenang. Apa yang saya tahu ketika itu hanya melonjak-lonjakkan badan ke atas.

Saya tarik tudung sebab rasa sudah terbelit di leher dan ketika menolak badan ke atas, saya terpijak batu dan masa itu saya tolak badan kuat-kuat ke atas dan terus berpaut pada batu di situ. Saya selamat tapi cermin mata saya hilang.

Selepas kejadian itu, saya berehat lima hari sebab kaki saya cedera. Masa itu, saya banyakkan solat sunat dan saya bertasbih. Saya berdoa dan tidak henti-henti memanjatkan doa pada Allah.

Malah setiap kali sujud, saya berdoa sebanyak 40 kali saya minta Allah ampunkan dosa saya, saya minta hantarkan bantuan dan selamatkan saya.

Memang saya bimbang dan alami dugaan yang berat sekali bila cermin mata saya hilang. Dalam keadaan ada cermin mata pun jarak penglihatan saya terbatas, inikan pula bila sudah hilang.

Saya perlu bertahan dan selepas peristiwa lemas di sungai itu, saya semakin yakin ajal saya belum tiba lagi. Saya kuatkan semangat dan apa yang bermain di fikiran saya ialah kawan-kawan yang sedang menduduki ujian subjek E-Commerce.

Saya rasa menyesal sebab kalau saya tidak gatal hendak melihat pokok bonsai itu, mungkin saya tidak sesat dan sedang menduduki ujian itu.

SEJUK HINGGA KE TULANG
Apa yang boleh saya kongsi ialah suhunya sejuk sekali. Lebih-lebih lagi tidur di atas batu yang tidak rata dan berdekatan dengan sungai.

Baju yang dipakai pula basah (sebab jatuh dalam sungai) dan setiap kali terjaga daripada tidur, kaki saya rasa tegang dan perit. Sejuknya terasa hingga ke tulang. Sejuk sangat.

Bagaimanapun, saya bersyukur sebab ketika sesat itu, malam bulan mengambang, jadi tidaklah gelap sangat. Saya juga bertuah hari tidak hujan. Kalau tidak, entahlah. Takut pula kalau difikirkan semula.

MAKANAN YANG DI FIKIRKAN
Selain coklat choki yang saya makan selepas tersesat, makanan terakhir yang saya ambil bersama kawan-kawan sebelum itu hanya Nestum 3 in 1.

Saya cuma teringat kuih-muih dengan teh ais, kuih ketayap dan roti jala dengan kari kentang. Saya tidak ada makanan kegemaran sangat sebab saya bukan jenis yang cerewet dan memilih, mungkin sebab itu badan saya berisi…hihi..

HARI KE 18
Masa hari ke-18, saya jumpa trek ke Kem Teku. Jadi, saya fikir sudah berada di laluan yang betul sehinggalah saya sampai di Kem Sungai Putih tempat bertemu dengan jurupandu dan dua orang pelancong asing itu.

Masa sampai di kawasan lapang kem itu, saya melihat sebuah beg berwarna merah dan saya nampak ada objek bergerak-gerak (andaian kerana mata tidak nampak dengan jelas) dan saya menjerit minta tolong.

Ketika itu, saya lihat objek itu terus bergerak dan bila sudah dekat, rupanya pelancong asing (sebab ketika itu jurupandu pergi ke sungai). Bila dengar saya menjerit,jurupandu Ubaidillah Dais datang dan tanya saya datang dari mana.

Selesai menceritakan apa yang berlaku, baru Ubaidillah tanya saya ke orang yang sesat dalam hutan itu dan dia beritahu saya, gerakan mencari saya rupanya dilakukan di tempat lain.

Dia terus bagi saya makan biskut Tiger dan minum Milo. Ubaidillah juga masakkan saya nasi dan terus bersama dengan seorang lagi pelancong membuat panggilan meminta bantuan.

Ketika mula-mula menjamah makanan, saya rasa rahang sakit sangat macam tidak boleh dibuka tapi saya makan juga perlahan-lahan sebab badan sudah tidak bertenaga.

Masa tinggal dengan pelancong itulah saya berbual dan bertanyakan latar belakang mereka yang rupanya datang dari Rusia. Malam itu, saya tidur di khemah Ubaidillah dan kami berbual. Saya pula rasa gembira sangat dan berbual tidak berhenti-henti. Saya rasa seronok sangat.

BERTEMU SEMULA KELUARGA SELEPAS 19 HARI
Mula-mula sekali saya tanya, ‘ayah tak pergi berniaga hari ini?’ Selepas itu, saya dengar ayah cakap dengan suara tersekat-sekat. Saya tahu ayah menangis tapi yang lebih penting dia tahu saya selamat.

Saya sedih sebab menyusahkan keluarga. Saya juga diberitahu, ayah saya sendiri sanggup berulang-alik dari Johor Bahru dan meninggalkan jualan ikan dan sayur semata-mata untuk turut serta dalam gerakan mencari saya.

Saya tidak serik untuk mendaki. Saya teringin hendak mendaki Gunung Kinabalu. Namun, semuanya terpulang atas keizinan ayah kerana semasa saya sesat dulu, ahli keluarga terutama ayah merupakan orang yang sangat risau tentang keadaan saya.

Saya tidak mahu mereka bimbang seperti itu lagi. Sama-samalah kita berdoa semoga Acap yang masih hilang turut akan ditemui kelak. Sumber foto : carian google

Dah baca habis? Jom like page Soya Lemon Viral

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*