Lima Cara Rangupkan Semula Biskut, Kacang, Kerepek dan Popcorn Yang Lemau

Aduh, siapalah tak tutup kuat-kuat bekas ni. Dah lemau rasa keropoknya. Dahlah penat aku goreng semalam. Dah tu takkan nak buang aja? Apa cara nak rangupkan semula keropok ni ya?”

Kadang-kadang makanan yang kita simpan baru 1-2 hari pun boleh lemau sebab tak perasan tak tutup semula dengan kedap. Ada tu bekasnya yang kurang elok dan masuk angin macam kuih raya kita biasa simpan. Yang paling frust tu kalau kita baru beli tapi dapat yang lemau – contohnya popcorn!Apapun, makanan begini biasanya masih elok selagi tak berbau pelik. Jadi, kalau nak elak membazir cuba 5 tips ini untuk merangupkan semula makanan yang lemau.

5 TIPS MERANGUPKAN SEMULA BISKUT, KEROPOK, KEREPEK & POPCORN YANG LEMAU

1. PANASKAN DALAM OVEN
Tips yang pertama mudah saja. Cuma perlu sediakan alas / tray dan masukkan semula makanan selama 3-5 minit dengan suhu 180 darjah celcius. Pastikan biskut tadi dijarakkan sedikit atau ditabur rata-rata.Tunggu sejuk dan anda boleh menikmatinya macam biasa. Selalunya orang buat cara ini untuk rangupkan biskut. Ia akan menjadi rangup di luar dan lembut di dalam. Boleh juga guna untuk kerepek atau popcorn asalkan kena adjust sikit suhunya supaya tak hangus.

2. GUNA MICROWAVE
Bagi yang tak ada oven, boleh juga guna microwave. Caranya lebih kurang sama, cuma anda perlu letakkan sehelai tisu di sebagai alasnya. Tisu ni fungsinya nak menyerap kelembapan supaya makanan jadi garing semula.Lepas tu microwave pada suhu Medium / High selama 40 saat. Masa keluarkan dari microwave tu awalnya akan nampak lembut, tapi bila dah sejuk sikit ia akan kembali rangup!

3. MASUKKAN DALAM RICE COOKER
Cara seterusnya ni pun mudah sebab hampir semua rumah ada rice cooker kan?
Mula-mula pastikan bahagian dalam periuk tu kering. Kemudian masukkan apa-apa jenis kudapan kering ke dalam periuk tersebut. Yang jenis basah tak bolehlah ya.Kemudian tekan butang ‘warm’ dan biarkan selama 1 jam dan cuba rasa apabila dah sejuk sedikit. Kalau masih lemau boleh tambahkan lagi setengah jam hingga betul-betul rangup.

4. GUNA AIR FRYER
Selalunya kita takut nak goreng semula kerepek atau keropok sebab nanti terlalu berminyak. Takut juga kalau-kalau terlebih kolesterol pula.Jadi bolehlah guna air fryer untuk kes-kes macam ni. Boleh ‘gorengkan’ 2-3 minit dengan suhu 180-200 darjah celsius. Tunggu sejuk dan enjoy! Cara ini juga boleh digunakan untuk kes-kes popcorn yang asyik lemau walaupun baru dibeli.

5. PANGGANG ATAS API PERLAHAN
Akhir sekali, mungkin ramai dah biasa guna cara ini terutamanya untuk biskut raya yang dah lemau. Caranya panggang semula atas api dengan non-stick pan atau pemanggang ajaib. Gunakan api paling rendah dan panaskan selama lebih kurang 5-10 minit.

SEELOKNYA DIHABISKAN TERUS LEPAS DIPANASKAN
Bagi yang nak cuba teknik-teknik ini, seeloknya ambil portion yang nak dimakan saja untuk dirangupkan semula. Sebab selalunya kalau dah sejuk balik, ia mungkin akan jadi lemau atau keras semula. Jadi, tak sedaplah kalau dipanaskan berulang kali. Rasanya pun kurang segar nanti.Lagipun, tak elok simpan makanan lama-lama sangat kan? Tapi sesuai sangatlah apply tips ini kalau nak elakkan pembaziran.Selamat mencuba!

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*