Ini Sebab Kenapa Susah Nak Dapat Kerja & Rezeki Tak Murah, Ustaz Beri Penjelasan

Solat itu wajib. Ia terkandung dalam Rukun Islam kedua iaitu diwajibkan solat lima waktu sehari semalam bagi orang Islam. Biar diwajibkan tetapi masih ramai memandang “remeh” soal solat.

Ada ketikanya kita lebih beriya-iya memasuki stadium lebih awal untuk menonton bola tetapi meninggalkan solat Maghrib seolah-olah kesuntukan waktu. Kita juga mampu bersiap awal untuk ke satu destinasi tetapi kemudian melupakan waktu untuk bersolat.

Bangun saja tidur, kita mengejar telefon, seolah-olah itu perkara paling penting dalam hidup. Lebih teruk kita mampu membelek telefon berjam-jam tetapi untuk solat 10 minit kita cukup culas.

REMAJA menemuramah Naqib Masjid Jamek Al Kadijiah, Pantai Dalam, Ustaz Shahril bin Abdul Samad tentang mereka yang malas bersolat terutama solat Subuh yang hanya dua rakaat.

Soalnya, KENAPA ALLAH MENGATURKAN SOLAT SUBUH ITU 2 RAKAAT SAHAJA? Bukan tiga atau empat?

Menurut Ustaz Shahril, setiap aturan kehidupan manusia itu mesti berpandukan kepada agama yang mengajarnya. Solat itu wajib maka umatnya wajib melakukannya tanpa sebarang alasan.

“Islam itu indah, jika boleh solat berdiri, lakukannya dengan sempurna. Kalau sakit atau terbaring, semudah-mudahnya kelipkan saja mata, sudah sempurna solat. Tiada alasan langsung untuk kita tinggalkannya,” katanya memulakan bicara.

Satu hadis menyebut, solat isyaklah kamu secara berjemaah di mana dengan solat Isyak itu pahalanya umpama individu itu bangun solat malam (solat tahajut).

Manakala bagi sesiapa yang mengerjakan solat Subuh berjemaah di masjid pula, pahalanya seolah-olah berbuat ibadat sepanjang malam.

Manakala satu hadis lain pula menyebut, sesiapa yang solat Subuh, daripada Jundab bin Abdillah RA katanya : Rasulullah SAW bersabda, “Sesiapa yang mengerjakan sembahyang subuh nescaya dia berada di dalam lindungan Allah, oleh itu janganlah sampai Allah menuntut daripada kamu sesuatu daripada tanggungannya (zimmah) nescaya Dia (Allah) dapatkannya kemudian Dia (Allah) menyembamkan mukanya ke dalam api neraka”.

Dikatakan juga, sesiapa yang meninggalkan solat Subuh, tiada NUR pada wajahnya.

“Inilah antara kelebihan bersolat Subuh kerana ianya dua rakaat sahaja. Kenapa Allah tidak jadikannya tiga atau empat?. Jawapannya kerana Allah sudah memberikan rehat yang panjang dan mencukupi pada sebelah malamnya. Di sini Allah ingin menguji hambaNya, adakah mereka sanggup meninggalkan tilam empuk untuk solat dua rakaat.

“Ramai yang bangun pagi terutama remaja yang ingin pergi ke sekolah tapi ramai yang liat untuk solat. Sebenarnya Zuhur itu mudah, Maghrib juga begitu. Cuma ujiannya adalah ketika waktu Subuh, Asar dan Isyak.

“Bila kita memulakan penghidupan hari, selepas mendapat rehat yang cukup pada sebelah malam, waktu pagi adalah waktu terbaik untuk tubuh manusia bergerak cergas. Sebab itu Zuhur itu mudah dilakukan bagi kebanyakan orang. Lagi pun boleh solat ketika waktu makan atau habis sekolah. Masuk ke Asar pula, semakin ramai berkejar-kejar dengan masa. Maghrib itu mudah kerana waktunya pendek tetapi di waktu Isyak pula, cabarannya bila sudah lama berehat, badan jadi malas kembali.

“Ada satu hadis menyebut, cabaran umat Muhammad di akhir zaman sebelum berlakunya kiamat ialah semakin ramai yang akan meninggalkan solat Subuh dan Asar kerana manusia semakin terkejar-kejar dengan kehidupan.

“Ini yang sedang berlaku dan akan berlaku. Kita sering merasakan masa tak mencukupi tetapi itulah ujian akhir zaman,”katanya yang menasihati ibu bapa agar mengajak anak-anak kecil mahupun remaja untuk bersama-sama solat Subuh di masjid.


Beginilah biasanya keadaan jemaah ketika solat Subuh di masjid. Tidak ramai . Hanya satu atau dua saf sahaja


Satu hadis menyebut, mengerjakan solat subuh berjemaah pahalanya seolah-olah mengerjakan solat sepanjang malam

Ini pemandangan biasa ketika solat Jumaat di mana orang cukup ramai tetapi bila waktu Subuh, suasananya berbeza sama sekali

Jelas Ustaz Shahril lagi, pahalanya solat berjemaah ini banyak. Ia juga satu proses mendidik jiwa anak-anak untuk kenal masjid. Janganlah nanti bila nak nikah saja cari Tok Imam. Lepas tu pelajar menengah pula biasanya akan cari saya untuk minta tandatangan selepas dibuang atau digantung sekolah,” katanya memaklumkan akibat dan kesan mereka yang kerap meninggalkan ialah rezeki sentiasa sempit selain sukar dapat pekerjaan.Orang bersolat pun ada ujiannya dan semua tidak pernah terlepas kerana kita semua umatnya yang lemah,” katanya lagi.

Dalam pada itu, Ustaz Shahril turut berkongsi pengalaman ketika pergi ke Bandung, Indonesia.

“Saya bertemu seorang Mudir pasantren (pondok) agama di sana iaitu Kiai Fuad Affendi.

“Katanya, di pasantrennya bagi orang lelaki dia mewajibkan pelajar melakukan empat perkara dalam kehidupan mereka iaitu solat, lakukan di awal waktu, secara berjemaah dan akhir sekali di masjid.

“Manakala bagi pelajar perempuan pula hanya dua iaitu solat dan keduanya di awal waktu.

“Kala ditanya kenapa lelaki ada empat, kata Kiai ini, lelaki itu tanggungjawabnya besar. Jika dia sudah berjaya mendidik hatinya melakukan empat perkara itu di Subuh hari bermakna dia berjaya melawan nafsu tidurnya. Tapi ramai yang tumpas. Kalau bangun jam 10 pagi, ramai beranggapan dah habis waktu Subuh, tak perlu solat lagi.

“Solat Subuh itu wajib. Tak kira bangun jam berapa. Kita solat kerana Allah dan serahkan pada Allah. Jangan beri macam-macam alasan. Jangan pula bangun tidur kerja telefon, baring-baring, bermalasan dan sebagainya,”katanya mengakui sudah ada contoh mereka yang culas solat Subuh, biasanya rezeki amat susah dekat.

“Kita tengok kenapa orang Cina buka kedai pagi-pagi. Semuanya dia anggap ong. Lepas tu, kalau kita bangun pagi, solat Subuh jemaah di masjid, bukan saja dapat dengar kuliah Subuh, ada ketikanya orang belanja makan pagi-pagi lagi. Itulah namanya rezeki. Lihat juga burung,semuanya terbang di awal pagi. Begitulah manusia ini, bangunlah pagi-pagi kerana pagi itu pembuka rezeki. Doalah sebanyaknya di waktu pagi kerana Allah rindu mendengar doa hambaNya,” katanya mengakhiri perbualan.

Dalam pada itu, Ustaz Shahril turut menghebahkan bagi yang ingin menyumbang ke wakaf Projek Tangga Kubur Kawasan C di Pantai Dalam Kuala Lumpur boleh memberikan sumbangan @ wakaf ke akaun Bank Islam Masjid Jamek Al Khadijiah di akaun 141710006861

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*