Betul Ke Ibu Obesiti Bakal Lahirkan Anak Yang Gemuk?

Ketika sedang hamil, sememangnya selera makan akan berubah. Sama ada ianya menjadi kurang selera makan ataupun bertambah selera makan. Sebenarnya kedua-duanya adalah bahaya buat ibu hamil.

Jika anda kurang rasa ingin makan, ataupun kurang selera makan, ianya bahaya untuk bayi dalam kandungan kerana takut kekurangan zat. Manakala, jika makan berlebihan pula akan menyebabkan ibu menjadi obesiti dan bayi dalam kandungan mengalami berat berlebihan, menyebabkan ibu sukar untuk melahirkan.

Walaupun begitu, jika selera ibu sangat sukar dikawal dan ibu menjadi obesiti, ianya mampu mempengaruhi bayi dalam kandungan. Kemungkinan besar untuk anak turut obesiti sangat tinggi.

Satu kajian baharu berskala besar mendapati bahawa para ibu yang mempunyai berat badan berlebihan dan obes lebih cenderung untuk mempunyai anak perempuan yang juga akan menjadi obes apabila dewasa kelak.

Kajian tersebut merupakan antara siri kajian penyelidik dari Institut Liggins dari Universiti Auckland dan Universiti Uppsala di Sweden yang mencerap data daripada 26,561 pasangan ibu dan anak perempuan di Sweden.

Kajian mendapati bahawa ibu-ibu yang mengalami lebihan berat badan adalah tiga kali lebih tinggi kemungkinan untuk mempunyai anak perempuan yang juga akan menjadi gemuk di kemudian hari berbanding ibu-ibu dengan berat badan normal. Manakala ibu-ibu obes pula hampir lima kali lebih cenderung untuk mempunyai anak perempuan yang juga akan menjadi gemuk.

Penyelidik juga mendapati bahawa dalam dua generasi wanita, terdapat peningkatan empat kali ganda kes obesiti iaitu 3.1 peratus ibu hamil di antara tahun 1982 dan 1988 menghidap obesiti, berbanding 12.3 peratus obesiti dalam kalangan anak-anak perempuan mereka pada tahun 2000 ke 2008.

Wanita yang obes akan lebih berisiko ketika hamil untuk mendapat pre-eklampsia, kencing manis, kematian dan keguguran bayi.Kajian ini telah diterbitkan dalam jurnal Scientific Reports.

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*