Putus Tunang, Ini 8 Perkara Yang Anda Boleh Tuntut Di Mahkamah Syariah

Dalam mana-mana kes perceraian atau putus tunang, adakah pasangan yang terlibat berhak untuk menuntut apa-apa ganti rugi di Mahkamah Syariah?

Biasanya, mana-mana pasangan yang sudah bertunang pastinya akan membelanjakan sejumlah wang bagi membuat persediaan perkahwinan. Jadi, jika terjadinya putus tunang, adakah mereka boleh menuntut ganti rugi?

Ramai yang mungkin tertanya-tanya tentang perkara ini kerana kebanyakan kes selalunya melibatkan Mahkamah Syariah untuk menyelesaikan masalah yang timbul. Seorang peguam syarie, Fahmi Ramli tampil untuk menjelaskan perkara ini yang mungkin masih ramai tidak peka

Menerusi tulisannya di Facebook, Fahmi menerangkan tentang tiga perkara penting iaitu ganti rugi, saman malu, dan perkara yang boleh dituntut di Mahkamah Syariah.

Ini kerana pertunangan melibatkan dengan perundangan serta hukum syarak. Jadi, pihak yang memutuskan pertunangan perlu bertanggungjawab atas pemutusan pertunangan tersebut melainkan pihak satu lagi itu redha.

Baca perkongsian penuh Fahmi di bawah:

Tuntut Hak Gantirugi Pertunangan di Mahkamah Syariah

Viral seorang artis terkenal yang putus pertunangannya juga dengan seorang artis. Siapa-siapa pun kalau bertunang tak mahu hal ini terjadi. Lebih perit pulak pertunangan yang diputuskan ini ada isu yang besar sehingga melibatkan pihak polis.

Saya tak mahu ulas tentang isu yang timbul antara artis tersebut. Biarkan pihak polis lakukan tugas mereka. Cuma, ada soalan daripada netizen, Aisyah tu tak boleh tuntut apa-apa ke di Mahkamah Syariah? Insya allah saya akan ulaskan sedikit supaya menjadi panduan semua.

Boleh Ke Tuntut Gantirugi di Mahkamah Syariah?

Pertunangan adalah suatu perjanjian sama ada secara bertulis atau perjanjian mulut untuk berkahwin. Pada ketika bertunang, haram untuk orang lain mengikat pertunangan dengan perempuan itu. Dalam undang-undang Keluarga Islam setiap negeri ada diperuntukkan tentang bidangkuasa Mahkamah Syariah untuk mendengar dan memutuskan tuntutan Gantirugi Perkahwinan.

Mana-mana pihak yang mungkir janji untuk berkahwin itu, adalah bertanggungjawab untuk pulangkan:

  • Pemberian pertunangan (jika ada)
  • Memulangkan nilainya
  • Membayar apa-apa wang yang telah dibelanjakan oleh satu pihak dengan suci hati untuk membuat persediaan bagi perkahwinan itu

Jadi, dalam kes ni, pihak yang diputuskan pertunangan boleh membuat tuntutan gantirugi yang dia telah tanggung untuk membuat sebarang persediaan ke arah perkahwinan tersebut. Ini termasuk dengan persiapan yang dilakukan bagi Majlis Pertunangan.

Boleh ke Tuntut Saman Malu?

Tidak boleh. Di dalam Mahkamah Syariah, hanya gantirugi perkahwinan yang berbentuk perbelanjaan ke arah persediaan untuk Majlis Perkahwinan sahaja boleh dituntut.

Jika tuntutan itu bersifat gantirugi am kerana keaiban/malu, tohmahan masyarakat, penderitaan, tekanan jiwa dan perasaan, ia boleh dibuat di Mahkamah Tinggi Sivil (Tuntutan Sivil).

Ini berdasarkan kepada kes Salbiah Bt Othman vs Haji Ahmad B Abdul Ghani (JHXXI/I 1427H) yang mana Mahkamah Tinggi Syariah Seremban telah menolak tuntutan Gantirugi Keaiban berjumlah RM200,000 yang dituntut oleh pihak Plaintif.

Jadi, apa yang boleh tuntut di Mahkamah Syariah?

Di dalam kes ini, dia boleh membuat tuntutan:

  • Belanja kenduri kecil-kecilan semasa hari pertunangan seperti jamuan makan dan khemah-khemah luar rumah
  • Baju pengantin yang telah dibayar penuh olehnya termasuk dengan make up kepada butik
  • Bayaran duit katering
  • Kad-kad jemputan
  • Pengubahsuaian rumah (bilik tidur, bilik air, cat rumah dll)
  • Pembelian katil pengantin
  • Tempahan langsir dan cadar
  • Deposit photographer

Ok, faham kan apa yang boleh dituntut untuk gantirugi putus tunang. Ingatlah, pertunangan bukan hal yang boleh dibuat main-main. Moga kita semua dilindungi dengan rahmat Allah. Tapi kalau dah tiada jodoh, mungkin ada hikmah di sebalik insiden ni. Ada hikmah juga bila tahu sesuatu sebelum berkahwin, kan?

Berani putus, berani tanggung.

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*