Chong Wei derma RM2 juta

“Saya akan memulakan tugas (CDM) pada Januari nanti dan mula memantau perkembangan atlet menerusi media sosial,” katanya.

JATI diri legenda badminton negara, Datuk Lee Chong Wei terserlah apabila mendermakan RM2 juta untuk sukan badminton dan persediaan atlet negara ke Sukan Olimpik 2020 di Tokyo.

Sumbangan itu disalurkan menerusi Yayasan Lee Chong Wei dengan RM1.4 juta diperuntukkan untuk Persatuan Badminton Malaysia (BAM) dan bakinya, RM600,000 untuk Majlis Sukan Negara (MSN).

Menurut Chong Wei memang impiannya membantu atlet Olimpik negara terutama misi meraih pingat emas pertama negara apatah lagi dirinya yang menjadi sandaran negara sudah bersara.

“Yayasan ini sudah lama (diwujudkan) dan tahun ini saya derma RM2 juta iaitu RM1.4 juta khusus untuk BAM dan RM600,000 lagi kepada MSN.

“Datuk Shapawi (Ketua Pengarah Majlis Sukan Negara (MSN), Datuk Ahmad Shapawi Ismail) akan tentukan dana ini digunakan bagi membantu apa-apa usaha penting untuk sukan dan atlet bagi persediaan Sukan Olimpik tahun depan,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri Majlis Sambutan Bulan Sukan Negara di Bukit Jalil.

Ditanya sama ada beliau berhasrat menaja atlet secara individu, pemenang pingat perak Olimpik tiga kali itu berkata, perkara itu akan dipertimbangkan.

“Bukan saya seorang buat keputusan dalam yayasan, ada ahli majlis dan lembaga pengarah untuk meluluskan dana untuk disalurkan kepada mereka yang memerlukan. “Beraksi di Sukan Olimpik Tokyo memang impian saya, tapi saya terpaksa bersara kerana masalah kesihatan.

“Jadi saya berharap dana ini dapat membantu apa yang perlu untuk atlet melayakkan diri ke temasya itu. Saya akan bantu apa yang termampu,” katanya lagi.

Mengulas kehidupannya selepas menggantung raket, Chong Wei berkata, masanya banyak dihabiskan untuk bersama keluarga. “Saya rasa gembira dengan kehidupan kini dan anda dapat melihatnya.

Sekarang saya lebih rileks dan meluangkan masa dengan keluarga.

“Ada ketika saya berjoging awal pagi dan jika BAM perlukan bantuan, saya akan bantu,” katanya yang merancang bercuti ke Itali selepas ini.

Dalam pada itu, Chong Wei yang dilantik Chef De Mission (CDM) Sukan Olimpik Tokyo 2020 tetap menaruh harapan kontinjen negara mampu meraih sebutir pingat emas kelak.

Begitupun beliau tidak mahu memberi tekanan kepada atlet kerana sedar tugas itu bukan mudah.

“Saya akan memulakan tugas (CDM) pada Januari nanti dan sudah mula memantau perkembangan atlet menerusi media sosial,” katanya.

Apa Pendapat Anda? Dah Baca, Jangan Lupa Komen Dan Share Ya. Terima Kasih! Khalifah Media

Jom Like Page Kami Juga Di Facebook

Sumber : HM

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*