Wanita Ini Sedang Kemas Rumah, Terkejut Dia Agong Datang ke Rumah Dan Tidak Diberitahu Awal Pun

Menggeletar tangan wanita ini, terkejut dia Agong datang ke rumah dan tidak diberitahu awal pun

Bagaimana perasaan anda sekiranya didatangi pemerintah tertinggi negara ke rumah secara mengejut dan tanpa persiapan rapi.

Situasi tersebut telah berlaku kepada seorang wanita apabila terkejut melihat susuk tubuh lelaki yang selalunya dilihat di kaca televisyen.

“ Saya berasa menggeletar dan berpeluh tangan apabila Tuanku (Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah) datang ke rumah,” kata Ramlah Junus, penduduk Perkampungan Orang Asli Sungai Ruil di Cameron Highlands.

Ramlah, 54, ketika ditemui Bernama berkata, beliau tidak menyangka Yang di-Pertuan Agong berkunjung ke kediamannya dan menganggap ia sebagai rezeki yang tidak disangka.

“ Semasa Tuanku datang ke rumah ini, saya sedang mengemas rumah. Saya memang tak sangka langsung sebab tidak diberitahu lebih awal Tuanku mahu datang ke sini.

“ Saya ada memberitahu kepada Tuanku mengenai masalah air dan jalan (raya) yang dihadapi di kampung ini,” katanya yang tinggal di kampung itu sejak lahir dan ada enam anak.

Sementara itu, Tok Batin kampung berkenaan, Kader Hasan, 50, mengucapkan terima kasih kepada Yang di-Pertuan Agong kerana berkenan melawat serta beramah mesra dengan penduduk kampung ini.

“ Saya berpeluang bersembang serta berbincang masalah setempat dengan Tuanku mengenai isu air dan tanah berhampiran kampung ini yang perlu diwartakan,” katanya yang juga penduduk generasi kelima di kampung ini.

Beliau berkata, kampung itu mempunyai 271 keluarga dengan penduduk seramai 1,100 orang.

Terdahulu, Al-Sultan Abdullah berkenan melawat, beramah mesra, mendengar permasalahan penduduk serta menyampaikan sumbangan kepada Ketua Isi Rumah.

Terdahulu Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah turut berkenan mencemar duli menikmati teh tarik di Pasar Kea Farm di sini.

Seri Paduka tiba di sebuah kedai di pasar yang terkenal di tanah tinggi itu, kira-kira pukul 11.30 pagi dengan mengenakan kemeja T berwarna biru dan seluar kelabu.

Menemani Yang di-Pertuan Agong adalah Menteri Besar Pahang Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail, Setiausaha Kerajaan Negeri Pahang Datuk Seri Salehuddin Ishak dan Datuk Pengelola Bijaya Diraja Istana Negara Datuk Ahmad Fadil Shamsuddin serta pemilik kedai.

Istana Negara turut memuat naik sekeping gambar Al-Sultan Abdullah menikmati minuman kegemaran rakyat Malaysia itu di dalam laman Instagram dan ia mendapat pujian para netizen.

Difahamkan, Al-Sultan Abdullah menzahirkan hasrat untuk menaik taraf kedai dan gerai di Kea Farm.

Semalam, baginda berkenan mencemar duli meninjau tapak pencerobohan haram Sungai Ichat di Kuala Terla.

Rabu lepas, Seri Paduka juga telah mengejutkan pelanggan di restoran Nasi Lemak Royale Kedah di Putrajaya apabila berkenan mencemar duli bersantap pagi di restoran itu.

Apa Kata Anda? Dah Baca Jangan Lupa Komen Dan Share Ya. Terima Kasih.

Sumber : hmetro

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*