Guru Terkedu Lihat Identiti Pelajar Dalam Kad Pengenalan Dan Ini Punca Dia Jaga Macam Anak Sendiri

Cikgu terkedu lihat alamat Arvin dlm kad pengenalan..sejak itu dia jaga pelajarnya ini hingga berjaya

Sungai Petani- Seakan kena dengan keadaan yang berlaku di negara kita hari ini tatkala sering dimomokkan dengan isu perkauman, timbul kisah penuh pengajaran ini yang harus dijadikan teladan.

Terbukti, perpaduan di kalangan rakyat berbilang kaum di negara kita tidaklah ‘senipis kulit bawang’ seperti yang sering diperkata kerana masih ramai di luar sana yang menyanjung sifat-sifat kemanusiaan tanpa mengenal warna kulit dan identiti bangsa.

Dan inilah yang ditonjolkan oleh seorang guru di sini. Hubungan mereka bukan sahaja sebagai guru dan pelajar, tetapi ibarat ibu dan anak walaupun berlainan bangsa dan agama.

Demikian situasi seorang guru Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Bandar di sini, Clarakartini A Hamid, 44, dengan bekas pelajarnya, A Arvin, 21.

Oleh kerana sangat rapat dengan ibu tiga anak itu, Arvin memanggil guru berkenaan dengan panggilan mommy.

Clarakartini berkata, sebagai pendidik menjadi tanggungjawabnya memastikan setiap murid dalam keadaan baik namun Arvin adalah pelajar yang istimewa baginya.

“ Saya mengenali Arvin ketika menjadi guru kelasnya di tingkatan lima sewaktu dia menuntut di SMK Bandar.

“ Sebelum ini dia belajar di sekolah lain. Ketika saya mengemas kini maklumatnya melalui sistem dalam talian, saya lihat kad pengenalannya beralamat rumah anak yatim.

“ Saya terpanggil untuk mengenalinya dengan lebih dekat sehingga mengetahui bahawa dia sudah tiada sesiapa lagi untuk bergantung harap,” katanya.

Berikutan itu, katanya, dia sedaya-upaya cuba membantu Arvin bukan sahaja dari segi pelajaran, tetapi juga bantuan kewangan bagi pelajarnya meneruskan persekolahan.

Katanya, dia berusaha membuat permohonan kepada sekolah dan meminta bantuan rakannya dari segi kewangan dalam menyediakan keperluan Arvin ketika bekas pelajarnya melanjutkan pengajian di Politeknik Sultan Abdul Halim Mu’adzam Shah (Polimas), Jitra.

Atas usaha yang dilakukan, Arvin kini berjaya menamatkan pengajian diploma dalam jurusan kejuruteraan elektrik dan elektronik.

Arvin turut berkongsi kejayaan itu bersama gurunya apabila Clarakartini dijemput menghadiri majlis konvokesyen yang diadakan di politeknik itu, baru-baru ini.

“ Saya terharu apabila Arvin berjaya menamatkan pengajian meskipun sebelum ini dia mempunyai masalah dalam pelajaran,” katanya.

Sementara itu, Arvin berkata, dia tidak akan dapat membalas jasa gurunya kerana menyayanginya seperti anak sendiri.

“ Biarpun saya berbeza bangsa dan agama dengan beliau, tetapi beliau menyayangi saya dan sentiasa memberi semangat untuk terus berjaya.

“ Saya harap kisah kami tidak terhenti di sini sebaliknya menjadi contoh kepada masyarakat di luar sana supaya saling menyayangi antara satu sama lain tanpa mengira kaum, agama atau warna kulit,” katanya.

Sebelum itu, gambar konvokesyen Arvin yang dimuat naik rakan di media sosial mendapat pujian netizen.

Apa Kata Anda? Dah Baca Jangan Lupa Komen Dan Share Ya. Terima Kasih.

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*