Emak Menangis Lihat Ulat Jatuh Dari Poket Baju. Kisah Lelaki Dulu Pengutip Sampah, Kini Jutawan

“Saya nampak emak menangis melihat ulat jatuh dari poket baju saya..” – Azlan

Sekiranya ada yang bertanya apakah rahsia untuk berjaya dalam hidup mahupun menjadi seorang jutawan, pastinya kisah lelaki ini wajar dijadikan contoh terbaik.

“ Jadikan kemiskinan sebagai motivasi, jadikan kekayaan sebagai inspirasi. Apabila memperoleh rezeki, kita perlu bersyukur dan berbuat kebajikan dengan hidup berbakti.”

Demikian kata ikon usahawan muda, Mohamad Azlan Abdullah @ Ali, 32, yang kini kisah hidupnya dibukukan dengan tajuk ‘Rahsia Pengutip Sampah Jadi Jutawan’.

Peneraju syarikat Azlan Al Amin Properties Sdn Bhd itu turut bersyukur apabila kisah pengalaman hidupnya yang berasal dari keluarga miskin tegar, namun kini bergelar jutawan telah menjadi inspirasi kepada orang lain.

“ Kita perlu sedar keberkatan, kesempitan atau kemurahan rezeki bergantung kepada hubungan kita dengan ALLAH. Jika kita ada masalah hubungan dengan ALLAH, rezeki sempit.

“ Sebagai manusia, kita tidak pernah sunyi daripada kesilapan dan kelemahan, namun ALLAH melihat bagaimana kita mengubah kesilapan dan mengatasi kelemahan itu dengan bertindak untuk menjadi lebih baik dan memperbaiki kekurangan itu agar lebih cemerlang,” katanya ketika dihubungi penulis.

Mohamad Azlan berkata, antara pengalaman yang tidak dapat dilupakan sewaktu melalui fasa kehidupan yang sukar adalah apabila beliau menjadi pengutip sampah di bawah syarikat kontraktor pembersihan selama 6 bulan di Kem TUDM Gong Kedak, Pasir Putih, Kelantan pada 2005.

“ Ketika itu, saya selalu membawa balik makanan kurang elok yang diasingkan untuk dibuang di kantin Kem TUDM tetapi masih boleh dimakan seperti ayam dan ikan untuk keluarga.

” Suatu hari bila balik rumah, saya nampak emak menangis melihat ulat jatuh dari poket baju saya ketika membasuh.

“ Dari situ, saya tekad untuk mengubah kehidupan kerana kasihankan emak saya. Emak menangis dan berdoa semoga saya mendapat peluang lebih besar.

“ Saya menghargai jasa emak, Siti Aishah Ismail, 57, dan ayah, Abdullah @ Ali Ahmad, 73 yang membesarkan kami 16 beradik dan memberikan pendidikan walaupun serba kekurangan,” ujarnya.

Keputusan beliau untuk tinggalkan rumah dengan berbekalkan RM1.30 telah membina kehidupan baru dan pertemuan dengan Cikgu Halim Md Saman dan Cikgu Ramli Hassan telah membuka jalan rezeki Mohamad Azlan dalam bidang hartanah.

“ Saya percaya kepada pemikiran positif akan menghasilkan tindakan positif, seterusnya membawa kejayaan. Bila dan di mana, saya tidak tahu. Apa yang pasti kejayaan akan hadir apabila saya berusaha dengan betul,” katanya.

Mohamad Azlan memberi sumbangan 10,000 beg kepada pelajar kurang berkemampuan di Terengganu dan Kelantan.

Anak kelahiran Besut, Terengganu ini akan menjadi tetamu istimewa pada Sesi Bersama Tokoh dalam program Rahsia Insan Cemerlang Hidup (RICH) 2.0 bertajuk ‘Rezeki: Keluh kesah bila sikit, bakhil bila banyak’ pada jam 6.30 pagi, 28 September ini.

Sesi tersebut diadakan pada program Rahsia Insan Cemerlang Hidup (RICH) 2.0 yang bermula jam 4.30 pagi. Pengisian RICH dimulakan dengan sesi Tadabbur Surah Al-Ma’arij oleh Ketua Pegawai Penyelidik, Yayasan Warisan Ummah Ikhlas (WUIF), Fazrul Ismail.

Orang ramai boleh mengikuti RICH 2.0 secara online pada 6.30 pagi di FB Live WorldQuranHour. Mereka yang ingin menyertai secara offline boleh datang ke QTT, Tingkat 1, Bangunan Sinar Harian, Kumpulan Media Karangkraf di sini pada 28 September ini. Kemasukan adalah percuma.

Apa Kata Anda? Dah Baca Jangan Lupa Komen Dan Share Ya. Terima Kasih. Petua Kita

Sumber : sinarharian

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*