Sebekas Nasi Goreng Dikongsi Lima, Guru Luah Rasa Terharu

Makanan kegemaran anak pastinya dari masakan seorang ibu. Walau sekadar nasi goreng biasa, air tangan seorang ibu tidak dapat menandingi mana- mana masakan.

Seperti perkongsian oleh seorang guru yang tidak asing lagi berkongsi kisah anak didiknya di media sosial, Mohd Fadli Saleh.

Melalui hantaran yang terbaru beliau telah memuat naik beberapa keping foto beberapa pelajar berkongsi makanan nasi goreng yang dibekal oleh seorang ibu.

Mungking hanya sekeping gambar biasa, tetapi disebaliknya ade beberapa nilai dan pengajaran yang boleh kita kutip.

Aku rasa, orang yang paling bahagia melihat gambar ini ialah si ibu yang memasak untuk bekal anaknya ini.

Bekas kosong dibawa pulang dan bila anak bercerita,

“Bu, bekal tadi adik makan dengan kawan-kawan adik. Kawan-kawan adik kata masakan ibu sedap.”

Esoknya pasti si ibu memasak lagi dengan penuh bersemangat. Kawan-kawan mereka ini, bukan tak ada duit untuk makan. Tapi bila ada yang mengajak makan, mereka pakat makan beramai-ramai.

Makan beramai-ramai ini menambah selera. Betul tak?

Malah, masa aku ambil gambar mereka, sempat lagi murid ini mempelawa aku,

“Cikgu nak tak? Jom makan sama-sama.”

Allahu. Jujur sungguh anak-anak ini. Tiada sedikit rasa penting diri. Tiada rasa tamak dan ingin makan sorang-sorang.

Aku menyeru pada ibu bapa sekalian, kaum ibu khususnya. Jika kalian ada kesempatan untuk sediakan bekal makanan untuk anak-anak, tolong sediakan. Sediakan lebih sedikit ya.

Paling penting, ajar anak mengajak kawan dia makan bersama. Ajar anak berkongsi rezeki. Itu amalan yang sangat mulia.

Murid yang membawa bekal ini bukan dari golongan kaya raya. Bekal makanan dia pun cuma nasi goreng biasa sahaja.

Tiada apa yang istimewa. Namun sikap anak itu yang dididik baik supaya berkongsi sangat aku kagumi.

Banyak sahaja murid yang membawa bekal sedap dan mahal. Spaghetti, nugget, sosej dan makanan yang lebih mahal serta sangat menyelerakan.

Namun waktu pulang, bila si ibu memeriksa bekal makanan anak mereka, lebih dari separuh bekal makanan itu berbaki. Tidak habis!

Maka si ibu mula tawar hati untuk memasak yang sedap-sedap kerana seringkali membazir dan anak tidak habiskan makanan.

Tolong ajar anak berkongsi. Ajar anak berkawan. Ajar anak supaya habiskan bekal yang dibawa.

Kami guru di sekolah saban hari mengingatkan murid agar berkongsi bekal. Terutama dengan murid yang miskin dan kurang berkemampuan.

Kalian ajar anak-anak di rumah, kami di sekolah pula ingatkan. InsyaAllah, generasi yang lebih cakna bakal kita lahirkan.

Begitulah.

#MFS
– Sebekas nasi goreng dikongsi lima. –

Posting itu turut mendapat perhatian dari para ibu-ibu yang rata-ratanya meluahkan rasa gembira jika masakan yang dibekalkan pada anak-anak habis dimakan.

Sumber: Mohd Fadli Salleh

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*