Hafaz Quran Sambil Tulis Khat, Bakat Murid Autisme Dikagumi Ramai

KOTA BHARU: Dengan iringan alunan ayat suci al-Quran menerusi corong radio yang terpasang di sisi, beberapa surah terpilih ralit diterjemahkan ke tulisan khat.

Karya itu dihasilkan seorang kanak-kanak autisme, Ahmad Danish Aqil Ahmad Fakhrul Azizi, 11, murid Sekolah Kebangsaan (SK) Parang Puting, di sini.

Bapanya, Ahmad Fakhrul Azizi Fauzi, 37, berkata bakat menulis khat anak sulung daripada dua beradik itu mula dikesan sejak tiga tahun lalu selepas Ahmad Danish Aqil menunjukkan kecenderungan menghafaz ayat suci al-Quran.

Ahmad Fakhrul berkata, ketika Ahmad Danish Aqil yang mesra disapa sebagai Along, berusia sembilan tahun, beliau menyediakan telefon bimbit untuknya mendengar beberapa surah al-Quran dan pada masa yang sama, teknik itu digunakan untuk menghafaz.

“Ketika itu Along hanya minat melukis lukisan 3D dalam bentuk bangunan dan boleh melukis persekitaran sekolahnya. Bagaimanapun, selepas itu dia mula menunjukkan kecenderungan menulis ayat al-Quran yang dihafaznya, lengkap dengan tanda bacaan yang betul tanpa merujuk kepada kitab al-Quran.

“Along semakin minat dalam penulisan khat sehingga ke hari ini dan lukisannya juga terus menunjukkan perubahan iaitu ada dimasukkan unsur geometri,” katanya ketika ditemui di sini, kelmarin.

Beliau berkata, anaknya mula dikesan menghidap autisme ketika berusia dua tahun lebih yang mana perkembangan tumbesarannya ketika itu tidak seperti kanak-kanak lain, malah dia juga tidak dapat bercakap.

Katanya, selepas dirujuk dengan pakar perubatan dan menjalani pembedahan ketika berumur lima tahun akibat masalah jan tung, Ahmad Danish Aqil sudah mula mampu bercakap, namun menuntut pengorbanan yang cukup tinggi untuk melatih insan istimewa itu.

“Dengan kekurangan dan kelebihan yang dianugerahkan kepada anak saya itu, ada kalanya tidak mampu tercapai dek akal dan melebihi insan normal.

“Along kini sudah mampu menghafaz beberapa surah antaranya Ar-Rahman, Al-Insan, Al-Waqiah, Al-Mulk dan Yasin termasuk beberapa lagi surah lazim.

“Dia juga seperti mengetahui terjemahan sesuatu ayat al-Quran. Contohnya, ketika membaca satu potongan dari Surah Al-Waqiah, Along tiba-tiba meraung dan sebaik saya memeriksa terjemahan, rupa-rupanya ayat itu mengenai az4b melakukan d0sa,” katanya yang juga berkhidmat sebagai guru di sekolah sama.

Melihatkan bakat yang dimiliki anak istimewanya itu, Ahmad Fakhrul menyimpan hasrat untuk menghantarnya ke pusat tahfiz suatu hari nanti, bergantung kepada kesediaan mereka sekeluarga untuk melepaskan anak sulungnya itu.

Beliau juga secara perlahan-lahan akan memperkenalkan Ahmad Danish Aqil kepada penggunaan aplikasi tulisan khat melalui komputer seiring dengan perkembangan semasa.

“Buat masa sekarang, Along memang gemarkan seni khat secara manual (tulisan) dan dia mempunyai banyak koleksi pen warna kerana kerap meminta saya membawanya ke kedai alat tulis semata-mata untuk menambahkan koleksinya itu,” katanya.

Sumber: bh online, sajeshare

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*